Proses Pengulasan

Proses Editorial

Penulis akan dimaklumkan tentang penerimaan makalah, status dan sebarang keputusan berkaitan dengan proses penerbitan oleh pihak Editorial dari semasa ke semasa.  

Proses Pewasitan:  Makalah yang sesuai untuk diterbitkan akan dimajukan kepada sidang editorial dan/atau pewasit. Penulis digalakkan untuk mencadangkan pewasit yang berpotensi untuk pewasitan. Makluman keputusan sidang editorial lazimnya mengambil masa 8 hingga 10 minggu daripada tarikh penerimaan makalah. Sidang editorial tidak menjamin penerbitan setiap makalah.

Kebenaran Penulis:  Penulis bertanggungjawab terhadap semua kenyataan yang disiarkan dalam makalah tulisannya, termasuk perubahan yang dilakukan oleh editor. Penulis perhubungan diminta bersedia untuk berunding dengan editor jurnal untuk menjawab soalan semasa proses editorial dan meluluskan salinan makalah yang telah disunting. Penulis akan menerima versi makalah yang telah disunting untuk kelulusan akhir. Bagi melancarkan proses penerbitan, sebarang perubahan pada makalah yang sudah disunting dan diluluskan adalah tidak dibenarkan.

Pewasitan 

Makalah yang diterima disemak melalui proses pewasitan. Pewasit bagi setiap makalah terdiri daripada pakar bidang dalam skop makalah. Pewasit akan dipilih oleh sidang editor jurnal atau dipertimbangkan melalui cadangan pewasit yang telah dinamakan oleh penulis. 

Pewasit akan mengemukakan penilaian bertulis yang menyatakan kekuatan dan kelemahan makalah bagi tujuan penambahbaikan dan mengenal pasti bahan sokongan tambahan yang sesuai untuk makalah tersebut. 

Makalah akan dinilai oleh dua hingga tiga orang pewasit. Penulis digalakkan untuk mencadangkan nama pewasit yang berpotensi dan dinyatakan dalam borang penilaian. Walau bagaimanapun, cadangan yang dikemukakan tetap tertakluk kepada keputusan akhir editor.  

Makalah dinilai berdasarkan kandungan. Oleh itu, editor berhak membuat suntingan pada teks untuk mengelakkan kekaburan makna dan pengulangan serta meningkatkan komunikasi antara penulis dengan pembaca. Makalah akan dikembalikan kepada penulis untuk semakan sekiranya sebarang perubahan diperlukan.

Proses Semakan Jurnal

Tujuh langkah proses semakan editorial:  

  1. Editor Eksekutif meneliti makalah untuk menentukan kesesuaiannya dengan skop jurnal. Makalah yang tidak sesuai dengan skop jurnal akan ditolak. Penulis akan dimaklumi sekiranya makalah ditolak. 

 

  1. Editor Eksekutif akan menghantarkan maklumat identifikasi makalah kepada dua hingga tiga pewasit. Salah seorang pewasit biasanya terdiri daripada sidang editorial jurnal, sementara dua orang pewasit lain mewakili pakar dalam bidang atau disiplin perbincangan makalah tersebut.  Proses penilaian melibatkan dua borang, iaitu (a) ‘Kit Pewasitan Manuskrip’ dan (b) ‘Panduan Pewasitan Manuskrip’. Proses pewasitan ini mengambil masa dua hingga tiga minggu. Ulasan yang diberikan merangkumi kesesuaian kerangka teori dan konseptual, sorotan kajian, metodologi, dapatan, perbincangan dan kesimpulan. Pewasit biasanya akan menyertakan bersama cadangan penambahbaikan. Ulasan dan penilaian yang dibuat adalah berdasarkan kepentingan dan sumbangan makalah terhadap perkembangan disiplin ilmu. 

 

  1. Editor Eksekutif meneliti laporan pewasitan. Editor Eksekutif akan berunding dengan Ketua Editor untuk memutuskan sama ada sesebuah makalah wajar  ditolak atau diserahkan semula kepada penulis untuk pembetulan. Keputusan akhir tertakluk kepada sidang editorial yang berhak menolak apa-apa bahan untuk diterbitkan. Dalam beberapa keadaan, makalah diterima dengan hampir tiada semakan. Laporan pewasitan akan dimajukan kepada penulis dengan sedikit penambahan daripada  editor untuk memudahkan penulis mengikuti cadangan panel pewasit.

 

  1. Penulis memberikan jawapan terhadap ulasan penilaian. Penulis dikehendaki menghantarkan edisi semakan makalah kepada Editor Eksekutif bersama-sama maklumat khusus yang memerihalkan respon terhadap laporan pewasitan.

 

  1. Setelah selesai proses semakan, Editor Eksekutif, sidang editorial dan Ketua Editor akan membuat semakan terhadap laporan pewasitan. Keputusan sama ada makalah tersebut diterima untuk penerbitan atau memerlukan semakan semula atau ditolak akan dibuat pada peringkat ini. 

 

  1. Makalah yang memerlukan semakan semula akan dihantar kepada penilai selain daripada penilai asal makalah tersebut. 

 

  1. Makalah yang diterima akan dihantar ke Bahagian Penerbitan untuk dicetak. Proses cetakan makalah mengambil masa lebih kurang 3 bulan. Pihak penerbit akan memastikan bahawa makalah mematuhi gaya penulisan yang ditetapkan (petikan, rujukan, jadual, kejelasan dan tatabahasa). Penulis diminta memberikan kerjasama terhadap sebarang keperluan dan pertanyaan daripada pihak penerbitan. Halaman yang sudah siap disemak akan dihantar kepada penulis utama untuk pengesahan akhir. Sebarang perubahan pada penulisan pada tahap ini hanya melibatkan perubahan yang penting. Makalah yang telah melalui kesemua proses ini akan diterbitkan dalam talian pada keluaran semasa.