Perlambangan Emosi ‘Malu’ Dalam Peribahasa Melayu Dan Perancis

  • Nur Anna Azman Universiti Putra Malaysia
  • Hazlina Abdul Halim Universiti Putra Malaysia
  • Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi Universiti Putra Malaysia

Abstract

Setiap lapisan masyarakat mempunyai peribahasa untuk menyampaikan hasrat hati secara sembunyi atau tersirat. Hal ini termasuklah masyarakat Melayu dan Perancis yang menggunakan medium peribahasa untuk menyampaikan emosi. Emosi dirasai oleh manusia setiap hari pada setiap masa, termasuklah emosi tenang, marah atau gembira. Namun, kajian ini memfokuskan emosi malu yang terdapat dalam peribahasa Melayu dan Perancis. Buku ‘Koleksi Terindah Peribahasa Melayu’ oleh Ainon Mohd & Abdullah Hassan (2016) dan ‘Kamus Istimewa Peribahasa Melayu’ oleh Abdullah Hussain (2007) digunakan untuk sampel data peribahasa Melayu, manakala buku ‘French Idioms’ terbitan Collins (2010) dan ‘101 French Idioms’ oleh Jean-Marie Cassagne (2009) digunakan untuk sampel data peribahasa Perancis. Sebanyak 150 data menunjukkan emosi diteliti dan hasilnya sebanyak tiga emosi malu masing-masing dijumpai dalam peribahasa Melayu dan peribahasa Perancis. Kajian ini dijalankan untuk mengenal pasti persamaan dan perbezaan perlambangan yang digunakan dalam peribahasa mencerminkan emosi malu berdasarkan Teori Semantik Kognitif oleh Lakoff (1987), seterusnya membincangkan penggunaan perlambangan tersebut yang menunjukkan emosi malu dalam peribahasa Melayu dan Perancis. Penganalisisan data dalam kajian ini menggunakan kaedah kualitatif dan data dikumpulkan menggunakan kaedah kepustakaan. Hasil dapatan kajian mendapati terdapat perbezaan pemikiran antara masyarakat Melayu dengan Perancis berdasarkan gaya kehidupan masing-masing. Kajian ini diharap dapat dijadikan sumber rujukan untuk penyelidik meneroka dengan lebih mendalam teori yang digunakan dan data yang digunakan peribahasa Melayu dan Perancis.
Published
2022-06-14
Section
Articles